Wednesday, 20 June 2012

Gerakan Kedah sambut baik pendirian Majlis Peguam

Enakmen: Gerakan Kedah sambut baik pendirian Majlis Peguam


 

SHAH ALAM - Gerakan Kedah mengalu-alukan pendirian kritikal Majlis Peguam Khamis lalu berhubung pindaan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

"Isu ini perlu dipandang secara serius oleh rakyat Kedah kerana ia melanggar hak asasi manusia, bertentangan dengan undang-undang dan bercanggah dengan sistem demokrasi negara yang mempunyai tiga cabang iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif," kata Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai dalam satu kenyataan media.

"Oleh sebab itu, kami memang tidak dapat untuk memandang rendah atau terlepas pandang isu ini tanpa sebarang tindakan," tegas beliau.

Pada masa yang sama, Gerakan Kedah mencabar Pakatan Rakyat (PR) agar menjelaskan pendirian mereka mengenai isu tersebut.

Berdasarkan kenyataan miggu lalu, Majlis Peguam menyuarakan kekesalan dan kebimbangan terhadap pindaan yang dibuat ke atas Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008, yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan memasukkan Seksyen 22A yang berbunyi "walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh Mufti atau Jawatankuasa Fatwa sama ada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh
dicabar, dirayu disemak dinafikan atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah."

Sehubungan itu kata Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee, pindaan itu bercanggah dengan Perlembagaan kerana seolah-olah menyingkirkan bidang kuasa mahkamah.

Katanya, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut Dun mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengecualikan bidang kuasa mahkamah.

Menurut Soon Hai, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang bertegas ingin menangani ketidakadilan sosial selama ini turut memilih untuk berdiam diri dalam isu terbaru ini.

"Isu ini merupakan isu serius yang memerlukan tindakan bersama. Kepimpinan PR perlu berdiri dan menyuarakan bantahan mereka ke atas pindaan yang dibuat tidak mengikut perlembagaan oleh Kerajaan Negeri Kedah seperti tertera dalam Buku Jingga.

"Mereka harus bertegas menentang pindaan ini yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan mereka sendiri bagi membuktikan yang mereka benar-benar bertanggungjawab sebagai wakil rakyat," katanya.

Malah kata beliau, pihaknya berkongsi dan meluahkan kebimbangan dan merasakan pindaan dibuat untuk mencabar undang-undang sivil atau mahkamah syariah yang pada asasnya tidak berpelembagaan.

Katanya, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menentang sekeras-kerasnya pindaan itu apabila ia dibentangkan dalam Dun April lalu, tetapi PKR dan Dap berdiam diri dan membiarkan Adun Pas menyokong pindaan itu.


 


 


 

SOURCE:    http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/enakmen-gerakan-kedah-sambut-baik-pendirian-majlis-peguam-1.55719

No comments:

Post a Comment