Tindakan Kerajaan Kedah Jadikan Flat Kos Rendah Asrama Pelajar Kuin Tidak Adil
ALOR SETAR: Tindakan kerajaan Kedah menjadikan rumah pangsa kos rendah sebagai asrama penginapan pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) adalah tidak adil bagi rakyat negeri ini yang sangat memerlukan kediaman sendiri.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Derga, Dr Cheah Soon Hai mendakwa flat kos rendah yang dijadikan asrama itu di Mergong dekat sini, dibina semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah.
"Ia tidak adil kepada rakyat Kedah kerana semasa kita bina dulu, tujuannya untuk rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Terdapat kira-kira 136 unit rumah di flat tersebut.
"Permintaan rumah kos rendah di Kedah sangat tinggi. Kerajaan negeri umum tiga projek perumahan kos rendah iaitu satu di Kubang Pasu dan dua di Pokok Sena tetapi semuanya belum dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini Isnin.
Beliau berkata struktur bangunan flat yang dibina serta kemudahan yang disediakan di kawasan itu juga tidak sesuai kepada pelajar kerana ia dibina bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengakui terdapat pelajar Kuin yang tinggal di flat berkenaan berikutan kekurangan penginapan kerana kampus baru Kuin di Kuala Ketil belum siap.
"Kita terpaksa tempatkan mereka buat sementara di flat ini. Paling lewat pun dalam sembilan bulan lagi baru kita boleh tempatkan mereka di kampus Kuin di Kuala Ketil.
"Selepas itu, barulah unit-unit rumah di flat tersebut akan ditawarkan kepada rakyat yang layak," katanya mengulas dakwaan Cheah itu.
SOURCE: http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/6/25/mstar_berita/20120625173731&sec=mstar_berita
****************************************************************************************************************************************************************
Pembeli tertipu rumah dijanjikan tidak dibina
Oleh:
Tarikh: June 25, 2012
ALOR SETAR - Seramai 16 pembeli rumah kos rendah di sini membuat laporan polis kerana mendakwa diri mereka ditipu oleh ejen menjual rumah kos rendah sejak dua tahun lalu.
Seorang mangsa yang dikenali sebagai Choo berkata pada pertengahan Mac tahun lepas, dia telah membuat permohonan untuk membeli rumah kos rendah di Alor Setar melalui seorang wanita.
"Wanita itu kata rumah kos rendah tersebut akan dibina di belakang pasar raya Tesco Mergong dengan harga RM98,000 dan pemaju akan memulakan pembinaan pada awal Disember tahun lepas.
"Untuk buat permohonan pembelian rumah itu, dia minta saya bayar deposit RM2,000 dan saya telah beri wang itu kepadanya di luar mahkamah dan dia janji akan memberi resit pembayaran melalui pos selepas enam bulan daripada tarikh bayaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Choo berkata selepas dua bulan, dia telah menerima surat kelulusan permohonan pembelian rumah kos rendah daripada Bahagian Perumahan Negeri Kedah.
"Selepas menerima surat tersebut, saya telah menghubungi wanita itu dan juga ketua ejen tetapi kedua-dua mereka telah memberi pelbagai alasan dan apabila saya pergi melihat sendiri tapak rumah yang dimaklumkan, saya dapati tiada ruang pun yang boleh dijadikan perumahan kos rendah di situ," kata Choo.
Choo juga rasa tertipu kerana mereka tidak ditunjukkan pelan rumah yang sebenar tetapi ejen hanya menunjukkan pelan sebuah rumah yang dikatakan seakan sama dengan rumah yang mereka beli.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Derga (Adun) Dr Cheah Soon Hai berkata pusat khidmatnya telah menerima banyak aduan berhubung kes itu.
"Saya juga ada menghubungi exco perumahan kerajaan negeri dan bertanyakan perkara itu dan diberitahu kerajaan negeri tiada projek perumahan di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau meminta kerajaan negeri mengambil berat dan prihatin terhadap masalah rakyat dengan membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana di negeri ini supaya rakyat dapat memiliki kediaman sendiri.